Koronavirus: Wuhan bina hospital khas, dijangka siap minggu depan
Agensi
Januari 24, 2020 18:02 MYT
Januari 24, 2020 18:02 MYT
Bandar Wuhan sedang membina hospital khas dengan 1,000 kelengkapan katil bagi menempatkan mangsa novel koronavirus yang semakin mengancam nyawa penduduk.
Ia dibina di pinggir bandar Wuhan yang mana pada asalnya merupakan kawasan pekerja tempatan dan dijangka siap seawal minggu depan.
Antara lain, ia mempunyai keluasan kira-kira dua hektar, seperti mana yang pernah dibina di Beijing dalam tempoh tujuh hari ketika menangani sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada 2003.
Oleh kerana hospital tersebut akan menjadi bangunan pasang siap, ia akan dibina dengan pantas dan tidak menelan perbelanjaan besar.
Jentera termasuk 35 pengorek dan 10 jentolak mula tiba di tapak pembinaan malam tadi dan kemudahan baharu itu dijangka siap menjelang Isnin.
Setakat ini, koronavirus baharu 2019-nCoV itu telah mengorbankan 26 orang di China dan mencatatkan lebih 800 jangkitan.
Dalam masa sama, kerajaan China juga dilapor telah menutup beberapa bandar yang menempatkan jutaan penduduk negara terbabit, ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Pada Jumaat lalu, kerajaan tembok besar itu dilaporkan telah menghentikan sistem pengangkutan awam di 10 bandar yang didiami kira-kira 33 juta penduduk.
Antara bandar yang ditutup adalah Wuhan iaitu bandar pertama yang merekodkan kes koronavirus, yang menjadi punca kepada kematian 25 orang penduduknya.
Sembilan bandar yang lain merupakan bandar berdekatan Wuhan yang terletak di wilayah Hubei, China.
Pihak berkuasa China turut mengambil langkah berjaga-jaga di seluruh negaranya.
Di Beijing misalnya, kebanyakkan acara besar di bandar itu terpaksa dibatalkan serta merta termasuk acara sambutan Tahun Baharu Cina secara besar-besaran di kuil tradisi di negara itu.
Malah, dua lokasi yang menjadi tumpuan pelancong iaitu Kota Terlarang Beijing dan Disneyland Shanghai turut mengumumkan penutupan pada Sabtu, gara-gara penularan wabak itu.