Koronavirus: UNICEF hantar bantuan topeng, baju perlindungan ke Wuhan

Astro Awani
Januari 29, 2020 05:46 MYT
UNICEF bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China termasuk Kementerian Perdagangan dan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.
Penghantaran topeng pernafasan dan baju perlindungan seberat enam tan metrik oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) selamat tiba di Shanghai pada Rabu, dalam usaha membantu mengekang penularan wabak novel koronavirus di China.
Terdahulu, ia dihantar dari Copenhagen, Denmark pada Selasa, dan akan seterusnya dihantar ke Wuhan selepas ini.
UNICEF memaklumkan, lebih banyak barangan keperluan kecemasan akan dihantar ke kota berkenaan dalam masa terdekat.
"Koronavirus ini merebak dengan cukup pantas dan penting untuk kita fikirkan cara mengekang penularannya," kata Pengarah Eksekutif UNICEF Henrietta Fore.
"Mungkin tidak banyak yang diketahui mengenai virus dan kesannya kepada pesakit, tetapi apa yang pasti pemantauan dan pencegahan adalah kunci untuk mengekangnya," tambahnya.
Pada masa sama, UNICEF bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China termasuk Kementerian Perdagangan, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi PBB lain untuk memantau perkembangan dan keperluan semasa.
#baju perlindungan #barangan kecemasan #China #Copenhagen #coronavirus #Henrietta Fore #Kanak-kanak #kesihatan #koronavirus #nCoV #Shanghai #topeng #virus #Wuhan
;