Koronavirus: Perancis lapor kes keempat

Astro Awani
Januari 28, 2020 05:55 MYT
Novel koronavirus pertama kali dilaporkan pada 31 Dis 2019 di Wuhan, China. - Gambar fail
Perancis pada Selasa melaporkan kes keempat jangkitan koronavirus melibatkan seorang pelancong warga emas dari China.
Pengarah Kesihatan, Jerome Salomon berkata, pesakit yang dimasukkan ke hospital di Paris itu dipercayai berusia dalam lingkungan 80 tahun, berasal dari wilayah Hubei, China.
"Keadaan perubatannya serius, kerana dia memerlukan resusitasi," kata Salomon kepada wartawan.
Pihak berkuasa Perancis ketika ini sedang menjejak kontak kepada pesakit itu sejak dia tiba di negara itu.
Terdahulu, tiga pesakit positif 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) telah dimasukkan ke hospital di Perancis, kes pertama seumpamanya yang dilaporkan di Eropah.
Sejak beberapa minggu lalu, virus itu telah menjangkiti ribuan manusia - kebanyakannya di China - dan lebih 100 telah meninggal dunia.
Perancis juga merancang untuk membawa pulang ratusan warganya yang berada di Wuhan, lokasi di mana berpuncanya virus itu.
Novel koronavirus pertama kali dilaporkan pada 31 Dis 2019 di Wuhan, China, pada awalnya ia disebarkan antara haiwan kepada manusia, kini ia dikatakan boleh dijangkiti antara manusia kepada manusia.
#2019 Novel Koronavirus #2019-nCoV #China #Hubei #jangkitan #koronavirus #meninggal dunia #Paris #pelancong #warga emas #Wuhan
;