Koronavirus: Korea Selatan sekat kemasukan warga asing yang lawat Hubei
Agensi
Februari 3, 2020 18:28 MYT
Februari 3, 2020 18:28 MYT
Korea Selatan mengumumkan sekatan ke atas semua warga asing yang melawat wilayah Hubei, China dalam tempoh 14 hari baru-baru dari memasuki negara itu mulai Selasa.
Presidennya, Moon Jae-in berkata sekatan tersebut tidak dapat dielakkan berikutan wabak novel koronavirus (2019-nCoV) yang berasal dari wilayah itu sedang merebak.
Beliau dalam sidang media pada Isnin memaklumkan sekatan itu termasuk destinasi pelancongan di Pulau Jeju.
“Sekatan kemasukan sementara terhadap semua warga asing yang tinggal di atau melawat wilayah Hubei dan penggantungan sementara kemasukan tanpa visa ke Pulau Jeju adalah langkah-langkah yang tidak dapat dielakkan bagi menjamin keselamatan rakyat kita.
“Saya berharap kita dapat bekerjasama agar pengasingan mereka yang melawat wilayah Hubei atau yang telah disahkan positif wabak dapat dijalankan dengan teliti,” katanya sebagai dipetik media antarabangsa, hari ini.
Setakat ini, 15 kes positif koronavirus telah disahkan di Korea Selatan.
#China
#coronavirus
#Hubei
#keselamatan
#Korea Selatan
#koronavirus
#Moon Jae-in
#nCoV
#novel koronavirus
#virus Wuhan
#Wuhan