Korea Utara sifatkan sekatan baharu PBB satu tindakan perang

Agensi
Disember 24, 2017 15:21 MYT
Korea Utara turut mendakwa Amerika Syarikat takut dengan kekuatan nuklearnya dan semakin terdesak untuk mengenakan sekatan yang paling teruk ke atas mereka. - Gambar fail/REUTERS
Korea Utara hari ini menyifatkan sekatan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap mereka sebagai satu tindakan perang dan sama seperti sekatan ekonomi penuh, kata kementerian luar negara itu pada hari Ahad.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan agensi berita KCNA, republik itu turut mengancam akan menghukum mereka yang menyokong sekatan berkenaan.
Korea Utara turut mendakwa Amerika Syarikat takut dengan kekuatan nuklearnya dan semakin terdesak untuk mengenakan sekatan yang paling teruk ke atas mereka.
Jumaat lalu, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara telah mengenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara kerana melancarkan lagi ujian peluru berpandu balistik antara benua baru-baru ini.
Sekatan tersebut bertujuan untuk menghadkan akses produk petroleum tertapis dan minyak mentah kepada negara itu dan juga pendapatan dari rakyat mereka yang bekerja di luar negara.
Resolusi itu bertindak mengharamkan hampir 90 peratus eksport petroleum tertapis ke Korea Utara dengan menghadkannya kepada 500,000 tong setahun dan mendesak pemulangan warga Korea Utara yang bekerja di luar negara dalam tempoh 24 bulan, bukannya 12 bulan seperti yang dicadangkan pada awalnya.
Resolusi yang didrafkan oleh Amerika Syarikat itu turut menghadkan bekalan minyak mentah ke Korea Utara sebanyak 4 juta tong setahun, dan akan berkurang lagi jika negara itu terus melakukan ujian nuklear.
#Amerika Syarikat #KCNA #Korea Utara #Majlis Keselamatan PBB #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #sekatan #sekatan baharu PBB #Ujian Peluru Berpandu
;