SEOUL: Kerajaan Korea Selatan akan membuat analisis terperinci mengenai segala kekurangan yang berlaku semasa Jambori Pengakap Sedunia 2023, kata Perdana Menteri Han Duk Soo pada Isnin, berikutan acara itu terjejas akibat gelombang haba, taufan selain kelemahan penganjuran.

Acara yang berakhir pada Sabtu itu berhadapan cabaran besar ekoran kelemahan pengurusan dan diburukkan lagi oleh gelombang haba dan taufan kuat yang memaksa pemindahan kira-kira 40,000 peserta.

"Jambori Pengakap Sedunia ini membawa banyak implikasi kepada kami. Kerajaan akan mengambil masa untuk menganalisis dan melihat keseluruhan penganjuran acara ini yang merupakan cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini," kata Han pada mesyuarat Kabinet, lapor Agensi Berita Yonhap.

Diadakan empat tahun sekali, acara yang bermula pada 1 Ogos di tapak perkhemahan di Saemangeum itu menerima kritikan kerana kemudahan yang disediakan tidak mencukupi.

Acara itu berakhir lebih awal apabila beberapa kumpulan peserta, termasuk dari Amerika Syarikat dan Britain berlepas pulang, manakala peserta lain dipindahkan ke pelbagai kawasan bagi melindungi keselamatan mereka daripada Taufan Khanun.

Susulan perpindahan lokasi, kumpulan agama, perniagaan, universiti dan ahli masyarakat turut menyumbang pelbagai bekalan serta menawarkan penginapan untuk peserta.

Yoon turut memuji tentera, polis, bomba dan pekerja awam lain yang bekerja keras memastikan keselamatan di pelbagai lokasi acara jambori itu.

-- BERNAMA