Apabila Puteri Sepanyol, Letizia Ortiz dimahkotakan sebagai permaisuri pada Khamis, dia mungkin terpaksa meninggalkan beberapa perkara peribadi kegemarannya seperti keluar bersama rakan di kafe atau mungkin melupakan terus beberapa konsert rock indie kegemarannya.

Wanita diraja yang berusia 41 tahun telah secara rahsia bergaul mesra bersama rakyat, selalu keluar secara bersama rakan-rakannya dan sentiasa menjadi bualan media di sana.

Gambar bekas penyampai berita itu pernah dirakamkan di luar Madrid ketika menghadiri sebuah konsert kumpulan rock dari Amerika Syarikat, Eels.

Beberapa bulan sebelum itu, Letizia dikhabarkan menonton konsert sebuah kumpulan indie, Los Planetas.

Letizia sendiri adalah peminat fanatik kumpulan The Killers dan pernah dilihat menghadiri konsert mereka di Madrid pada September 2012 dan sekali lagi di festival muzik rock FIB pada Julai tahun lepas.

Susulan pengumuman turun takhta oleh Raja Juan carlos pada 2 Jun lalu, hidup Letizia yang juga merupakan cucu kepada seorang pemandu teksi, berubah.

Kehidupan sosial Letizia mula menjadi tajuk utama di ruang gosip media, yang membawa kepada khabar angin kononnya hubungannya dengan Putera Felipe menghadapi masalah.

“Keluarga diraja ada memaklumkan kepada Letizia bahawa aktiviti sosialnya telah menimbulkan syak wasangka kepada keluarga tersebut” kata Jose Apezarena, penulis buku ‘Felipe and Letizia. The conquest of the throne’

Dilahirkan pada 15 September, 1972, Letizia berasal dari keluarga sederhana.

Letizia yang pernahberkahwin sebelum ini, berumur sekitar 30an ketika dia menjalin hubungan dengan Felipe dan kemudiannya mereka berkahwin pada tahun 2004.

Putera Felipe dinobatkan sebagai Raja Felipe VI pada Khamis, dan pasangan itu akan diarak sekitar Madrid.

Selepas ini, tiada lagi seluar jeans, disetiap majlis Letzia pasti akan memakai persalinan gaun diraja penuh adat istiadat dan dijaga rapi pengawal.