Kim Jong-un arah peluru berpandu Korea Utara siap sedia untuk dilancar

Agensi
Mac 4, 2016 06:28 MYT
Arahan Kim Jong Un (gambar) itu dikeluarkan susulan persetujuan yang dicapai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan baru yang lebih ketat ke atas Pyongyang. - Gambar fail
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengeluarkan arahan supaya peluru berpandu negara itu siap sedia untuk dilancarkan.
Arahan itu dikeluarkan susulan persetujuan yang dicapai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengenakan sekatan terbaru yang lebih ketat ke atas Pyongyang.
Kim ketika dipetik agensi berita tempatan Korean Central News Agency (KCNA), memberi amaran keadaan di Semenanjung Korea dalam situasi bahaya dan perlu menukar strategi ketenteraannya.
Sementara itu, di Washington, Pentagon menyifatkan ia hanya ugutan dan bukan ancaman.
Di Jepun, menteri pertahanan negara itu, Gen Nakatani pada Jumaat berkata Jepun akan mengambil setiap langkah yang perlu, bagi berdepan ancaman Korea Utara yang menggugat keselamatan negara.
"Melihat kepada situasi yang berlaku di Semenanjung Korea, kita tidak boleh menolak kemungkinan Korea Utara akan meneruskan ancamannya kepada hubungan Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
“Kementerian Pertahanan akan terus melakukan pemantauan aktiviti serta menganalisis maklumat,” katanya lagi.
#gen nakatani #Jepun #KCNA #Kim Jong Un #majlis keselamatan pertubuhan bangsa-bangsa bersatu #PBB #Pyongyang