NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta negara-negara penderma agar tidak menangguhkan pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berikutan tuduhan serius terhadap pembabitan beberapa kakitangan agensi itu dalam konflik antara Hamas-Israel.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Antonio Guterres berkata siasatan oleh Pejabat Perkhidmatan Pengawasan Dalaman PBB (OIOS) telah segera diaktifkan, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

"Daripada 12 orang yang terlibat, sembilan individu dikenal pasti serta-merta dan dipecat oleh Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini; seorang disahkan meninggal dunia dan identiti dua yang lain sedang dikenal pasti," katanya.

Guterres seterusnya menyatakan bahawa sekretariat sedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berwibawa yang mampu mendakwa individu terlibat mengikut prosedur biasa sekretariat untuk kerjasama itu.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa UNRWA juga sebelum ini mengumumkan semakan penuh dan bebas terhadap organisasi berkenaan pada 17 Jan.

"Sementara itu, 2 juta penduduk Gaza bergantung kepada bantuan penting dari UNRWA untuk kelangsungan hidup harian mereka, tetapi pembiayaan semasa UNRWA tidak akan membolehkannya memenuhi semua keperluan untuk menyokong mereka pada Februari. Sementara saya memahami kebimbangan mereka - saya sendiri berasa ngeri dengan dakwaan ini - saya dengan tegas merayu kepada kerajaan yang telah menangguhkan sumbangan mereka, agar sekurang-kurangnya menjamin kelangsungan operasi UNRWA," kata ketua PBB itu.

Menurut laporan media, Amerika Syarikat, Britain, Itali, Australia, Kanada, Finland dan Belanda memutuskan untuk menangguhkan pembiayaan kepada UNRWA berikutan dakwaan penglibatan beberapa pekerja UNRWA dalam konflik antara Hamas-Israel.

Norway menyambut baik siasatan terhadap beberapa kakitangan agensi PBB tetapi berkata ia akan terus menyokong rakyat Palestin melalui UNRWA.

Ireland juga mengumumkan bahawa ia tidak akan menangguhkan pembiayaan kepada agensi PBB itu.

-- BERNAMA