NEW YORK: Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mencegah jutaan lagi orang mangsa perang, keganasan dan penganiayaan daripada menjadi pelarian.

Filippo Grandi menyatakan angka semasa kini mencecah 114 juta orang.

"Bulan depan, kami akan mengemas kini angka ini. Ia akan lebih tinggi," katanya seperti yang dipetik oleh Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Grandi mengingatkan kembali taklimat terakhirnya kepada para duta tujuh bulan lepas dan beliau berkongsi pandangannya mengenai beberapa krisis di seluruh dunia.

Beliau memberi amaran terhadap satu lagi gerakan memaksa rakyat Palestin meninggalkan tempat tinggal mereka dan mengatakan ini hanya akan mencipta satu lagi masalah yang sukar diselesaikan dan menjadikan penyelesaian konflik berdekad ini mustahil dicapai.

Sambil menyatakan bahawa puluhan ribu telah terbunuh di Gaza, Ukraine, Sudan, Republik Demokratik Congo (DRC), Myanmar dan di tempat lain, beliau menekankan bahawa "belum terlambat untuk meningkatkan bantuan kepada jutaan yang telah dipaksa berpindah supaya mereka boleh pulang secara sukarela, dengan selamat dan bermaruah."

Beliau menambah bahawa "belum terlambat untuk mencuba menyelamatkan berjuta-juta lagi orang daripada bencana perang."

-- BERNAMA