JAKARTA: Presiden Joko Widodo hari ini melantik Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan (Menkopolhukam) Mahfud Md sebagai pemangku Menteri Komunikasi dan Informatika.

Pelantikan itu bagi membolehkan Mahfud Md menjalankan tugas di kementerian setelah Johnny G. Plate ditahan Pejabat Peguam Negara pada Rabu disyaki terlibat kes rasuah.

"Penggalas tugasnya Pak Menkopolhukam," kata Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi kepada media di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, di sini sebelum berlepas ke Jepun untuk lawatan kerja.

Plate disyaki terlibat dalam dakwaan kes rasuah 8 triliun rupiah (AS$544 juta) bagi projek 'a fourth generation (4G) base transceiver station' bernilai 10 triliun rupiah yang dilaksanakan agensi di bawah kementeriannya.

Jokowi turut menyeru semua pihak menghormati proses undang-undang yang dilaksanakan oleh Pejabat Peguam Negara sambil menafikan berlakunya campur tangan politik di sebalik kes itu.

"Yang jelas Pejabat Peguam Negara pasti profesional dan terbuka terhadap semua yang berkaitan dengan kes itu," katanya.

-- BERNAMA