BAGHDAD: Iraq mencatatkan peningkatan mendadak dalam kes demam berdarah Crimean-Congo (CCHF) setakat tahun ini dengan lebih 200 kes dikesan, lapor Xinhua, memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu.

Menurut laporan di laman sesawang WHO, sebanyak 97 kes disahkan dan 115 kes disyaki dilaporkan antara 1 Januari dan 22 Mei.

Setakat ini 27 orang telah meninggal dunia, dengan 13 daripadanya adalah kes disahkan.

Jangkitan itu jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2021 iaitu sebanyak 33 kes disahkan.

Iraq telah mengeluarkan piawaian kebersihan lebih ketat untuk rumah penyembelihan ternakan, yang mengharamkan penyembelihan ternakan di luar tempat yang ditetapkan.

Pada Sabtu, Gabenor Baghdad Mohammad Jaber Al-Atta mengumumkan pembentukan kumpulan kerja bersama untuk membendung penularan virus itu, termasuk membuat rancangan segera untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pencegahan wabak.

Virus ini disebarkan terutamanya melalui gigitan kutu atau melalui darah atau tisu haiwan yang dijangkiti semasa dan sejurus selepas penyembelihan, dengan kadar kematian boleh mencecah sehingga 40 peratus, kata WHO.

-- BERNAMA