Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry menggesa Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki menghalang Iran daripada menggunakan ruang udaranya bagi menghantar bantuan tentera ke Syria.

Langkah berkenaan dilihat penting bagi menamatkan krisis di rantau berkenaan.

Pertemuan itu diadakan di Baghdad pada hari Ahad.

Kerry berkata, “Ia dibuat sangat jelas kepada Perdana Menteri bahawa penerbangan dari Iran, sebenarnya membantu untuk mengekalkan Presiden Assad dan rejimnya.

Ia sekaligus membayangkan kebimbangan Washington terhadap peranan Tehran dalam membantu Presiden Syria, Bashar Al-Assad daripada digulingkan.

Amerika percaya Iran menyalurkan bekalan senjata dan tentera yang sekaligus mengukuhkan kedudukan Al-Assad berdepan pemberontakan.

Bagaimanapun Tehran dan Baghdad sebelum ini menafikan tuduhan berkenaan.

Mereka mendakwa penghantaran hanya membabitkan bantuan kemanusiaan bagi membantu penduduk Syria yang terjejas.

Beliau juga dijadual mengadakan perbincangan dengan pemimpin Kurdish, Massoud Barzani.

John Kerry tiba dalam lawatan mengejut selepas bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang melawat Israel, Palestin dan Jordan.

Lawatan Kerry dilakukan ketika Iraq bakal menghadapi pilihan raya wilayah pada bulan depan.

Ini merupakan lawatan pertama setiausaha negara Amerika ke Iraq selepas lawatan Clinton pada 2009.