Ribut salji yang berterusan di kota Norilsk, Rusia menyebabkan kenderaan dan kediaman penduduk tertimbus salji hanya dalam masa lima minit.

Malah ada gambar menunjukkan salji tebal yang melanda kota Artik tersebut mencecah setinggi aras kedua rumah pangsa.






Kota yang disifatkan sebagai tempat paling sejuk di dunia itu kini sedang mengalami malam polar yang mana matahari tidak akan terbit buat sekurang-kurangnya enam minggu.

Menurut sumber, penduduk Norilsk yang berada dalam kesejukan dan kegelapan melampau itu terpaksa mengharungi ribut salji yang dikatakan paling dahsyat pernah berlaku.

Warga tempatan merungut kerana jalan raya yang biasa mereka gunakan kini hilang sama sekali dek timbunan salji tebal.

Pasukan penyelamat kini sangat terdesak walaupun mereka sudah biasa bekerja dalam keadaan salji yang teruk.

Kota Norilsk terkenal dengan kebolehannya menempuh musim sejuk yang melampau tetapi minggu ini menyaksikan penduduk diuji dengan suhu serendah -27 darjah celsius.

Ada yang terpaksa menggali salji setebal empat meter untuk mencapai pintu rumah.

Walau bagaimanapun, ada juga penduduk yang mengambil kesempatan untuk bermain dengan timbunan salji di kota seramai 175,000 itu, lapor The Siberian Times.


Suhu di kota banduan era Soviet itu pernah mencecah serendah -55 darjah celsius.