Ribuan pelarian menghabiskan malam ketiga di kawasan terbuka di Pulau Lesbos, Greece selepas tempat perlindungan mereka di Kem Moria hangus dijilat api.

Pihak berkuasa Greece mendakwa, kebakaran pada Selasa dan Rabu malam itu sengaja dilakukan oleh beberapa penduduk kem yang marah dengan perintah pengasingan yang dikeluarkan untuk mencegah penyebaran COVID-19 selepas 35 penduduk didapati positif.

Kem tersebut dikenakan perintah berkurung sehingga pertengahan September selepas kes pertama dikesan.

Amaran sebelum ini dikeluarkan mengenai kepadatan penduduk di kem tersebut yang menampung sehingga 12,500 orang sedangkan ia hanya mempunyai kapasiti sehingga 2,750.

Kebakaran pada malam Selasa menyebabkan 3,500 penduduk kem kehilangan tempat tinggal.

Sehubungan itu pihak berkuasa Greece menyediakan khemah sementara termasuk sebuah kapal feri dan dua kapal tentera laut sebagai tempat tinggal sementara.

Sementara, kanak-kanak bawah umur yang ditemani penjaga diterbangkan ke tanah besar dan ditempatkan sementara di hotel.

Kem Moria menempatkan pelarian dari Afrika, Asia dan Timur Tengah yang tiba di pulau itu dari pantai Turki.