KUALA LUMPUR: Antara faktor kejatuhan Kerajaan Syria di bawah pemerintahan Presiden, Bashar al-Assad adalah kegagalan ekonomi di negara itu.

Pakar Asia Barat dan Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Kamaruzaman Yusoff, berkata faktor utama ini menyebabkan Syria terus dibelenggu pergolakan dan pertempuran dengan kumpulan pembebas sejak 11 tahun lalu.

"Kegagalan Assad sendiri dalam tempoh yang panjang itu dari 2011 hingga 2024...  lebih kurang13 tahun, mereka masih lagi gagal memperbaiki ekonomi rakyat.

"Jadi isu ekonomi juga memberi kesan kepada penduduk secara umumnya kerana akhirnya penduduk memberi sokongan (kepada kumpulan pembebas)... seperti yang kita lihat di TikTok (media sosial) ada kumpulan lain... mereka masuk dan berjaya dalam tempoh yang sangat singkat," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai konflik Syria dalam Buletin Awani pada Ahad.

Tambah beliau, kesibukan sekutu Assad iaitu Rusia dan Iran masing-masing dengan peperangan menentang Ukraine dan Israel turut mempengaruhi perubahan besar yang berlaku pada hari ini.

"Antara satu lagi isu besar yang mempengaruhi gerakan ini juga ialah kerana sibuknya Rusia, peperangan dengan Ukraine dan sibuknya Iran dengan peperangan dengan Israel.

"Kita sebenarnya tidak mendapat maklumat yang banyak tentang gerakan (baharu) ini dan yang kedua mereka bergerak secara lebih berkompromi di antara satu sama lain untuk menjatuhkan Assad," katanya.

Kumpulan pembebas Syria hari ini mendakwa mereka telah berjaya menawan ibu kota Damsyik, sekali gus mengumumkan kejatuhan kerajaan pimpinan Assad.

Dalam satu kenyataan rasmi, kumpulan itu menyatakan, Assad juga telah melarikan diri ke lokasi yang tidak diketahui.

Mereka turut mengisytiharkan Damsyik sebagai wilayah bebas daripada cengkaman pemimpin tersebut.

Terdahulu, mereka turut menguasai Homs, yang memberikan kumpulan itu kawalan ke atas kawasan strategik di Syria dan persimpangan lebuh raya utama, memisahkan Damsyik dari kawasan pantai yang menjadi kubu kuat mazhab Alawit Assad, dan di mana sekutu Bashar iaitu Rusia mempunyai pangkalan tentera laut dan pangkalan udara.