Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menyiapkan pelan luar jangka bagi membantu memindahkan rakyat Malaysia di Jakarta jika banjir di ibu kota Indonesia itu semakin buruk.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan memaklumkan pegawai kedutaan besar sentiasa menghubungi rakyat Malaysia yang tinggal di beberapa kawasan di Jakarta untuk memastikan keadaan keselamatan mereka.

Setakat ini belum ada rakyat Malaysia yang terperangkap dalam bencana itu.

Selain pelan luar jangka, Kedutaan Besar Malaysia akan menyediakan tempat tinggal sementara jika ada rakyat Malaysia terutamanya pelajar yang terpaksa berpindah.

Katanya, Kedutaan Besar turut membuka bilik gerakan banjir yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan banjir di Jakarta.