Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di sini menjadi mangsa tempias konflik yang sedang memuncak di Yaman apabila sebahagian bangunannya musnah dibedil bom.

Kejadian yang berlaku petang tadi dilapor mengakibatkan sekurang-kurangnya dua cedera ringan setakat ini.

Sementara itu, beberapa pekerja di kedutaan berkenaan bertindak menyelamatkan diri di kediaman Duta Besar Indonesia di sini.

Di media sosial, beberapa gambar telah dimuat naik bagi menunjukkan keadaan di bangunan kedutaan tersebut yang rosak akibat ledakan bom.



Yaman kini diselubungi konflik bersenjata selepas Arab Saudi dan negara-negara Teluk sekutunya melancarkan operasi ketenteraan untuk membanteras puak pemberontak Syiah Houthi.

Sejak 26 Mac lalu, Arab Saudi dan sekutunya telah menggempur lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyian dan juga operasi puak Houthi melalui serangan udara.

Pada masa yang sama, puak Houthi terus melancarkan serangan darat untuk menawan Aden sepenuhnya bagi menguasai benteng terakhir golongan yang setia pada Presiden Abd. Rabbuh Mansur Hadi.

Krisis di Yaman ini agak rumit dan melibatkan banyak pihak yang bersengketa termasuk pemberontak Houthi, kerajaan Yaman, al-Qaeda, bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh dan parti al-Islah.