KENTUCKY: Kawasan komuniti pelarian Bosnia di Bowling Green, Kentucky berkabung di atas kematian 14 penduduknya termasuk 7 kanak-kanak dalam bencana puting beliung paling teruk pernah melanda negeri itu.

Ribut kuat berkenaan meranapkan rumah di kawasan kejiranan itu yang rata-ratanya dihuni oleh keluarga yang mempunyai anak kecil.

Barang permainan, lampin dan botol bayi dilihat berselerakan di kawasan berlumpur dengan beberapa kenderaan turut musnah.

Bowling Green merupakan kawasan perumahan dihuni oleh majoriti komuniti pelarian Bosnia yang tiba di Amerika Syarikat pada akhir 90-an.

Pasukan mencari dan menyelamat masih meneruskan usaha mencari mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan.

Kentucky dikatakan negeri paling teruk dilanda puting beliung dalam kelompok beberapa negeri yang terkesan akibat tragedi itu.

Puting beliung yang melanda pada Jumaat itu dilihat luar biasa apabila berlaku pada musim sejuk.

Kata Gabenor Kentucky, lebih 70 orang maut di negeri itu akibat puting beliung berkenaan.