Roket New Shepard, sebuah kapal angkasa suborbital setinggi 59 kaki (18 meter), akan membawa kru ini ke garis Kármán, sempadan angkasa lepas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, menurut kenyataan Blue Origin yang dimiliki oleh Bezos.
Penumpang akan mengalami beberapa minit mikrograviti sebelum kembali ke Bumi melalui pendaratan yang dibantu payung terjun di padang pasir West Texas.
Turut melengkapi senarai kru ini ialah ahli sains roket NASA, Aisha Bowe; penyelidik bioastronautik, Amanda Nguyen dan penerbit filem, Kerianne Flynn.
Syarikat itu, bagaimanapun, belum mendedahkan tarikh misi tersebut.
Ini adalah penerbangan manusia ke-11 untuk roket tersebut dan yang ke-31 secara keseluruhan.
Rekod terakhir penerbangan angkasa sepenuhnya wanita adalah pada tahun 1963 melalui misi solo angkasawan Soviet, Valentina Tereshkova, wanita pertama di angkasa.
Penerbangan pertama New Shepard yang membawa kru pada Julai 2021 menampilkan Jeff Bezos dan abangnya, Mark.
Sejak itu, roket tersebut telah membawa bekas pemain NFL Michael Strahan dan pelakon Star Trek William Shatner, yang menjadi manusia tertua di angkasa pada usia 90 tahun.
Bulan lepas, roket gergasi syarikat itu, New Glenn, berlepas dari Florida dalam misi pertamanya ke angkasa, langkah permulaan ke orbit Bumi untuk syarikat angkasa Jeff Bezos yang bertujuan menyaingi SpaceX dalam perniagaan pelancaran satelit. - Agensi
