Agensi berita Yonhap melaporkan, tragedi itu bermula pada pukul 8.40 malam, 4 Ogos apabila kanak-kanak yang tinggal di Goyang, di barat laut Seoul menghadapi kekejangan febril dan dilaporkan kepada perkhidmatan kecemasan 119, menurut pegawai di Ibu Pejabat Bomba dan Bencana utara Gyeonggi
Pasukan penyelamat menghubungi unit kecemasan 11 hospital di Seoul dan sekitar Wilayah Gyeonggi tetapi kesemuanya enggan menerima bayi itu dengan alasan kekurangan kakitangan perubatan.
Kanak-kanak itu akhirnya dimasukkan ke hospital ke-12 yang dihubungi oleh pasukan penyelamat, Hospital Universiti Inha di Incheon, 32km di barat Seoul, lebih sejam kemudian pada hari kejadian.
Kanak-kanak itu masih sedar semasa dimasukkan ke hospital walaupun terdapat gejala kekejangan tubuh tetapi kemudian koma dan masih belum sedarkan diri lagi, kata pegawai itu.
"Kami berjaya mendapatkan sebuah hospital di Incheon yang sanggup untuk merawatnya selepas berulang kali gagal mendapatkan unit kecemasan, " kata seorang pegawai sambil menambah kanak-kanak itu sedang dirawat dalam keadaan tidak sedar diri di sebuah hospital di Seoul. - BERNAMA