WASHINGTON: Kerajaan Kanada mengumumkan pada Isnin, ia akan mengenakan cukai tambahan 100 peratus ke atas semua kenderaan elektrik (EV) buatan China dan cukai tambahan 25 peratus ke atas keluli dan aluminium China yang diimport, lapor United Press International (UPI).

Kerajaan berkata cukai tambahan EV akan bermula 1 Oktober, yang akan dikenakan sebagai tambahan kepada tarif negara paling disukai sebanyak 6.1 peratus yang kini dikenakan kepada kenderaan keluaran China yang diimport ke Kanada.

"Kami mengubah sektor automotif Kanada menjadi peneraju global dalam pembinaan kenderaan masa depan," kata Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada sidang akhbar pada Isnin.

"Tetapi pihak seperti China telah memilih untuk memberikan diri mereka kelebihan yang tidak adil dalam pasaran global."

Presiden Persatuan Pengeluar Alat Ganti Automotif Flavio Volpe mendesak penggubal undang-undang Kanada untuk mengenakan tarif tinggi kepada EV China seperti Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata tarif adalah wajar kerana perniagaan China melanggar peraturan.

Presiden AS Joe Biden pada bulan Mei mengumumkan tarif baru ke atas kira-kira US$18 bilion EV China yang diimport yang sepatutnya memasuki pasaran AS dengan harga yang lebih murah berbanding EV yang dihasilkan di Amerika, meskipun mendapat bantahan dari Beijing.

Langkah itu juga menaikkan tarif ke atas EV kepada 100 peratus, meningkat daripada 25 peratus.

Cukai tambahan ke atas keluli dan aluminium China akan bermula 15 Okt.

Ia berkata senarai akhir barangan yang akan dikenakan cukai tambahan akan diumumkan pada 1 Okt.

"Kerajaan Kanada akan melancarkan perundingan 30 hari kedua mengenai sektor lain yang penting untuk kemakmuran masa depan Kanada, termasuk bateri dan bahagian bateri, semikonduktor, produk solar dan mineral kritikal," kata Jabatan Kewangan Kanada dalam satu kenyataan.

"Notis perundingan akan dikeluarkan dalam beberapa hari akan datang untuk membantu memaklumkan sebarang tindakan kerajaan selanjutnya."

Jabatan itu berkata pekerja Kanada menghadapi "persaingan tidak adil" daripada syarikat dan produk China.

Ia berkata dasar China "lebihan kapasiti," atau membanjiri pasaran dengan barangan murah, tidak mempunyai piawaian buruh dan alam sekitar.

Dasar itu mengancam kapasiti jangka panjang Kanada, yang membawa kepada Menteri Kewangan Chrystia Freeland untuk mengumumkan langkah baharu itu.

"Kanada adalah rumah kepada pekerja berbakat, bahan mentah, elektrik bersih dan keupayaan pengeluaran khusus yang diperlukan untuk membina kenderaan elektrik dan itulah sebabnya potensi rantaian bekalan EV kami dinilai pertama di dunia," kata Freeland dalam satu kenyataan.

"Itulah sebabnya kerajaan kami mengambil tindakan tegas untuk menyamakan kedudukan, melindungi pekerja Kanada dan memadankan langkah yang diambil oleh rakan dagang utama."

-- BERNAMA