"Hari ini, Yang Berhormat Bill Blair, Menteri Pertahanan Negara, mengumumkan Iqaluit, Inuvik dan Yellowknife sebagai lokasi Hab Sokongan Operasi Utara. Ini akan meningkatkan kehadiran dan keupayaan tindak balas Angkatan Bersenjata Kanada di seluruh Artik dan Utara," menurut kenyataan kementerian itu pada Khamis.
Kanada akan memperuntukkan AS$2.67 bilion dalam tempoh 20 tahun bagi "menubuhkan rangkaian Hab Sokongan Operasi Utara" sebagai sebahagian daripada dasar pertahanan yang diperbaharui, menurut kenyataan itu.
"Hab ini, yang merangkumi landasan kapal terbang, kemudahan logistik dan peralatan, akan membolehkan Angkatan Bersenjata Kanada menegakkan kedaulatan negara dengan lebih berkesan serta menyokong kehadiran sepanjang tahun," menurut kenyataan itu lagi.
Inisiatif ini memperkenalkan pendekatan baharu terhadap pertahanan dan kelestarian di Artik serta wilayah utara, bertujuan meningkatkan keselamatan Kanada dalam menghadapi perubahan besar dari segi persekitaran dan keselamatan, kata kementerian itu.
Pada Disember 2024, Menteri Luar Kanada Melanie Joly mengumumkan pelancaran strategi dasar luar baharu mengenai Artik dan menyatakan bahawa Kanada tidak lagi menganggap Artik sebagai wilayah berkepentingan rendah susulan peningkatan peranan Rusia dan China.
Pada Februari 2025, Ketua Parti Konservatif Kanada Pierre Poilievre berjanji untuk menubuhkan pangkalan tentera tetap pertama di Iqaluit sejak Perang Dingin. Pangkalan itu akan dibiayai menerusi pengurangan bantuan asing Kanada, katanya, sambil mengumumkan rancangan untuk memperoleh pemecah ais berat bagi kegunaan tentera laut dan pengawal pantai negara itu di Artik.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum ini mengkritik Kanada kerana berbelanja rendah dalam pertahanan, dengan menyatakan bahawa beliau menganggap negara itu "tidak berdaya maju."
-- BERNAMA
