OTTAWA: Kanada terus melanjutkan langkah-langkah kawalan pencegahan COVID-19 untuk pelancong asing yang ingin masuk ke negara itu, menurut Agensi Kesihatan Awam Kanada (PHAC) pada Rabu.

Kawalan pencegahan untuk pelancong yang tiba di Kanada dijangka berkuat kuasa hingga 30 September 2022, lapor Xinhua memetik kenyataan PHAC.

"Di saat kita melangkah ke fasa seterusnya dalam tindak balas COVID-19, adalah penting untuk kita ingat bahawa wabak ini belum berakhir. Kita mesti terus melakukan semua yang termampu demi memastikan diri dan orang lain selamat daripada virus itu.

Langkah-langkah di sempadan Kanada kekal fleksibel dan mudah diadaptasi," kata Menteri Kesihatan Jean-Yves Duclos.

Ujian secara rawak akan diteruskan di semua lapangan terbang sehingga pertengahan Julai.

Ujian mandatori itu diteruskan di pintu masuk sempadan darat, tanpa sebarang perubahan.

Pengembara yang tidak lengkap vaksinasi, melainkan mendapat pengecualian perubatan, akan terus menjalani ujian COVID-19 pada hari pertama dan hari kelapan di sepanjang tempoh kuarantin 14 hari mereka, menurut PHAC.

-- BERNAMA