Seorang remaja 16 tahun mengalami pendarahan teruk di kaki selepas berendam di sebuah pantai di Brighton, Melbourne akibat dijamah ratusan kutu laut pemakan daging.

Sam Kanizay berkunjung ke pantai Dendy Street berikutan satu perlawanan bola sepak untuk aktiviti riadah.

Tiga puluh minit selepas merendamkan kakinya di dalam air dia terus menyedari kakinya mula mengalami pendarahan yang teruk.

"Saya keluar dari air dan ternampak seperti ada pasir di pergelangan kaki dan bawah betis lalu saya menggoyangkan kaki untuk menghilangkan pasir yang melekat.

“Kemudian saya berjalan lebih kurang 20 meter untuk mengambil seluar saya lalu ternampak kaki berlumuran darah," kata Kanizay dalam satu temu ramah dengan portal berita BBC.

Apabila tiba di rumah, bapa Sam, Jarrod Kanizay, terkejut melihat keadaan anaknya dan segera membawanya ke hospital apabila dia tidak berjaya menghentikan pendarahan yang dipercaya berpunca dari lubang kecil di bahagian bawah kaki anaknya itu.

Sam diberi antibiotik dan kemudian dipindahkan ke hospital lain untuk pemeriksaan lanjut.

Namun, doktor tidak dapat menjelaskan apa yang telah menyebabkan luka di kaki remaja itu sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya dan teori.

Tidak berpuas hati, Jarrod kembali ke pantai itu dengan jaring berpancingkan daging segar untuk melakukan siasatannya sendiri.

Jarrod memuat naik video hasil tangkapannya yang menunjukkan sejenis kutu laut sedang menjamah cebisan daging tersebut.

Menurut pakar di Muzium Victoria dalam satu temuramah New York Times mendakwa makhluk ini "aktif di waktu malam dan mampu menghabiskan seekor ikan dalam beberapa jam. Walaupun mereka biasanya berehat di dalam pasir, mereka juga aktif berenang ketika mencari makanan. "

"Saya tidak mahu orang lain melalui perkara yang sama. Jika kita boleh menghalangnya berlaku kepada orang lain, itu tujuan kami menceritakan pengalaman ini kepada orang ramai, "kata ibu Sam, Jane Kanizay.

Sam terlantar di hospital selama sehari dan terpaksa menggunakan kerusi roda buat sementara waktu sehingga lukanya sembuh.