Kaitan punca COVID-19, penyelidik di Thailand mulakan kajian spesies kelawar
Agensi
Jun 13, 2020 21:06 MYT
Jun 13, 2020 21:06 MYT
Para penyelidik di Thailand mula menghimpunkan sampel daripada sejenis kelawar untuk menguji sama ada kewujudan spesies itu membawa ancaman kepada penduduk tempatan, menurut satu kenyataan kerajaan pada Sabtu.
Mereka merancang untuk mengumpulkan 300 kelawar dalam tempoh tiga hari dari sebuah gua di wilayah Chanthaburi di sebelah tenggara negara itu.
Reuters melaporkan, selepas sampel daripada kelawar ladam Rhinolophidae itu diambil, ia akan dilepaskan semula.
Thailand mempunyai 23 spesies kelawar ladam, namun belum pernah sebarang siasatan dibuat ke atas mamalia terbang itu.
Punca virus berkenaan masih menjadi perdebatan selepas ia muncul di China pada penghujung tahun lalu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April memberitahu, semua bukti semasa menunjukkan virus itu berpunca daripada kelawar di China, namun masih tidak jelas bagaimana ia boleh berpindah spesies lalu menjangkiti manusia.
Pasukan penyelidik di Thailand itu termasuk Supaporn Wacharapluesadee, yang telah mengenal pasti kes pertama jangkitan COVID-19 di negara tersebut pada Januari lalu.
“Sebab kita perlu mengkaji kelawar ladam adalah kerana laporan dari China menunjukkan virus COVID-19 adalah mirip virus yang ditemui pada kelawar ladam," ujar Supaporn.
Thailand merupakan negara pertama di luar China yang merekodkan kes jangkitan virus berkenaan. Setakat ini, Negara Gajah Putih itu mencatatkan sejumlah 3,134 kes positif COVID-19 dengan 58 kematian.
Para penyelidik dari Jabatan Taman Negara, Hospital Chulalongkorn dan Universiti Kasetsart telah meneroka gua pada lewat petang Khamis dan keluar semula pada awal pagi Jumaat bersama sampel darah, air liur dan najis kelawar.
Para penyiasat juga bimbang penduduk kampung di sekitar kawasan itu berisiko dijangkliti.
Penduduk tempatan diketahui menjadikan kelawar sebagai pilihan makanan mereka, ujar Supaporn, sambil menambah program pendidikan dan sebaran maklumat amat diperlukan.
#China
#COVID-19
#kelawar
#koronavirus
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#punca jangkitan
#Thailand
#ujian
#virus
#WHO
#Wuhan