Sebuah pesawat penerbangan British Airways terpaksa membuat pendaratan kecemasan pada Isnin selepas asap dikesan pada ruang kabin.

Kejadian berlaku selepas 10 minit pesawat itu berada di udara ketika dalam penerbangan dari lapangan terbang Heathrow, London ke Valencia, Sepanyol.

Menerusi video yang dikongsi seorang pengguna Twitter, Gayle Fitzpatrick memaparkan situasi di dalam kabin pesawat yang dipenuhi asap.


Difahamkan, sebaik sahaja mendarat, penumpang diarahkan turun menerusi gelongsor kecemasan.

Jurucakap British Airways mengesahkan kejadian yang membabitkan pesawat BA422, lapor portal mirror.co.uk.

"Pesawat itu, A321, telah mendarat dan semua pelanggan dan anak kapal telah turun.

"Pasukan British Airways membantu semua penumpang yang berada di terminal lapangan terbang," katanya.

Tiada kecederaan dilaporkan.