Seorang jurutera kereta api menjadi hero apabila berjaya menyelamatkan seorang penumpang wanita daripada nyaris maut selepas mangsa terjatuh ketika cuba turun dari kenderaan tersebut.

Insiden penuh dramatik itu berlaku ketika mangsa cuba turun dari kereta api yang sedang bergerak mengakibatkan mangsa hampir tersepit di celah-celah platform.

Malangnya, dia secara tiba-tiba terjatuh di ruang antara platform di Stesen Cuttack, India.

Memetik laporan Times of India, kejadian terbongkar kepada umum selepas syarikat Kereta Api Pantai Timur (ECoR) berkongsi rakaman kejadian dengan pihak media, pada Jumaat.


Rakaman berdurasi 38 saat itu menunjukkan penumpang wanita yang memakai baju berwarna merah itu kelihatan turun dari kereta api Puducherry-Howrah Express (12868).

Berdasarkan rakaman, ketika terjatuh mangsa sempat berpaut pada pemegang di pintu kereta api tersebut sebelum dia diseret beberapa meter.

Melihat keadaan cemas tersebut, seorang lelaki membantu mangsa dengan menariknya dari dalam kenderaan tersebut namun gagal.

Mujurlah, jurutera kanan bahagian Signal dan Telekom, TR Barik berada di lokasi kejadian lalu bergegas berlari ke arah mangsa sebelum bertindak menariknya daripada memasuki ruang antara platform.

Tindakan pantas TR Barik menolak mangsa masuk ke dalam kereta api telah menyelamatkan nyawa wanita itu daripada sebarang kemalangan yang tidak diingini.

Difahamkan, dalam kejadian pada jam 4 petang waktu tempatan pada Khamis lalu, kereta api tersebut tidak berhenti di Stesen Cuttack kerana bukan salah satu stesen persinggahan.

Susulan kejadian tersebut, Pengurus Besar ECoR, Vidya Bhusnan telah memberikan ganjaran kepada TR Barik atas keberaniannya.

Bagaimanapun, tidak dimaklumkan sama ada mangsa mengalami sebarang kecederaan atau sebaliknya susulan kejadian tersebut.

Kejadian sama pernah berlaku di Stesen Cuttack pada 17 Ogos tahun lalu.