Ringkasan AI
- Ekkapol Chantawong, yang pernah terperangkap di Gua Tham Luang pada 2018, kini terperangkap di atas bumbung rumahnya akibat banjir besar di Daerah Mae Sai, Chiang Rai.
- Dalam temu bual, Ekkapol menyatakan bahawa perasaannya hampir sama seperti terperangkap di dalam gua, tetapi kali ini hanya melibatkan orang dewasa.
- Banjir menyebabkan kerosakan besar pada rumah dan barang-barangnya, memaksa Ekkapol menghabiskan dua malam di atas bumbung. Paras air banjir di beberapa bahagian Chiang Rai telah surut.
Ekkapol yang mendapat perhatian dunia bersama 12 pemain bola sepak muda selepas hampir tiga minggu terperangkap di dalam gua di wilayah Chiang Rai, baru-baru ini menghadapi krisis yang hampir serupa dan kali ini terperangkap di atas bumbung rumahnya di Daerah Mae Sai, wilayah yang sama.
Dalam satu temu bual bersama Yayasan SEAL Tentera Laut Thailand, Ekkapol membandingkan kedua-dua pengalaman itu.
"Perasaannya hampir sama seperti terperangkap di dalam gua, tetapi kali ini hanya melibatkan orang dewasa.
"Pada 2018, kami mempunyai kanak-kanak yang perlu diselamatkan, tetapi kali ini orang dewasa yang perlu menjaga diri sendiri," katanya.
Ekkapol mengimbau kembali kejadian pada malam 11 Sept, paras air meningkat dengan pantas, menenggelamkan tingkat satu rumahnya.
Dia tidak sempat menyelamatkan barang-barangnya.
"Pada mulanya saya fikir air hanya sekadar paras lutut, seperti yang berlaku setiap tahun.
"Tetapi dalam masa sejam, ia sudah mencecah paras pinggang. Kami melarikan diri ke atas bumbung dan menghabiskan dua malam di sana, hanya bertahan dengan makanan ringan," katanya.
Banjir itu menyebabkan kerosakan besar pada rumah, perabot dan barang-barang ditenggelami air.
"Bukan saya sahaja... rumah orang lain turut terjejas. Kami kehilangan segalanya. Saya hanya berjaya menyelamatkan diri dalam keadaan sehelai sepinggang bersama-sama telefon bimbit. Semua yang lain hilang," kata Ekkapol.
Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana Thailand melaporkan bahawa paras air banjir di beberapa bahagian Chiang Rai surut sejak pagi Jumaat.
Pada 2018, Ekkapol dan pasukan bola sepak "Mu Pa" (Wild Boar) terperangkap di dalam gua Tham Luang akibat banjir kilat.
Tragedi itu mendapat perhatian global selepas operasi menyelamat antarabangsa berjaya membawa mereka keluar selepas hampir tiga minggu.
-- BERNAMA