AMMAN: Kementerian Luar dan Ekspatriat Jordan pada Sabtu mengumumkan bahawa seramai 35 rakyatnya dipindahkan dari Lubnan menaiki pesawat tentera, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Seramai 35 rakyat Jordan dipindahkan dari Lubnan menaiki pesawat tentera, yang juga membawa 15 tan bantuan kemanusiaan.
  • Sejak awal Ogos, seramai 3,285 warga Jordan telah tiba di Jordan dari Lubnan melalui udara dan darat.
  • Kerajaan Jordan sedang mengatur penerbangan tambahan dan memudahkan kepulangan melalui darat dengan kerjasama pihak berkuasa Lubnan.


Menurut agensi berita Petra, pesawat terbabit tiba di Lubnan awal Sabtu dan membawa 15 tan bantuan kemanusiaan.

Jurucakap kementerian, Sufian Qudah memaklumkan bahawa sejak awal Ogos, seramai 3,285 warga Jordan tiba di negara itu dari Lubnan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia Jordan, selain mereka yang tiba melalui darat di sempadan Jaber dengan Syria.

Kerajaan juga sedang berusaha mengatur penerbangan tambahan ke Jordan dan memperuntukkan tempat duduk khas bagi warga Jordan yang ingin pulang.

Selain itu, usaha sedang dijalankan untuk memudahkan kepulangan melalui darat menerusi Syria, katanya.

Jurucakap itu mengesahkan bahawa Jordan akan terus memindahkan warganya dari Lubnan dengan kerjasama pihak berkuasa Lubnan.

Qudah berkata bahawa kedutaan Jordan di Lubnan sentiasa berhubung dengan komuniti Jordan di sana, memberi jaminan bahawa semua individu berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

-- BERNAMA