Indonesia sedang pertimbang untuk mengisytiharkan darurat berikutan kebakaran hutan yang melanda republik itu sejak beberapa minggu, mengakibatkan jerebu teruk di kebanyakan negara Asia Tenggara.

Menurut naib presiden Indonesia, Jusuf Kalla, kerajaannya akan meningkatkan usaha untuk mengawal kebakaran tersebut yang menyebabkan tahap pencemaran di seluruh rantau ini ke tahap yang tidak sihat, serta memaksa penutupan sekolah dan penerbangan pesawat dibatalkan.

"Masalahnya terlalu besar," kata Jusuf dalam satu temu bual di pejabatnya di Jakarta.

"Kami sedang mempertimbangkan untuk (mengisytiharkan darurat)," katanya sambil memaklumkan beribu anggota tentera akan dikerahkan bagi membantu memadam kebakaran hutan yang semakin berleluasa itu.

Beliau memberitahu bahawa Presiden Indonesia, Joko Widodo dijangka membuat keputusan mengenai pengisytiharan tersebut selepas pulang dari Amerika Syarikat.

Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi dijangka akan memendekkan lawatan rasmi pertamanya ke Amerika Syarikat untuk terus melawat kawasan-kawasan yang dilanda jerebu.

"Beliau akan lebih fokus kepada masalah dalam negara," kata Jusuf mengenai keputusan Jokowi untuk membatalkan lawatannya ke Silicon Valley bagi membincangkan hal pelaburan dengan syarikat Apple dan Google.

Kebakaran hutan yang berlaku Sumatera dan Kalimantan kini telah merebak ke kawasan lain seperti Papua, di mana femomena El Nino turut memburukkan lagi musim kemarau dan menghalang usaha memadamkan api yang merebak.

Menurut Jusuh, kira-kira 40 juta rakyat Indonesia di lima wilayah terjejas akibat jerebu yang teruk.

Agensi bencana negara pada Isnin memaklumkan, jerebu telah mula merebak ke selatan menuju pulau Jawa, di mana lebih separuh penduduk negara itu tinggal.

Indonesia juga telah menggunakan kapal perang untuk membawa keluar kanak-kanak dan mereka yang menghidap penyakit pernafasan kronik.