Sembilan kes terbaharu mengenai kes jangkitan Zika di Singapura disahkan pada Khamis, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kes kepada 292, jelas Kementerian Kesihatan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) republik itu dalam sebuah kenyataan bersama, lapor Channel News Asia.

Pihak berkuasa juga berkata bahawa terdapat potensi kluster baharu melibatkan dua kes terdahulu dan satu kes baharu, yang mana mereka berkerja di kawasan Ubi Crescent.

Pihak berkuasa mengatakan bahawa terdapat empat kes yang berhubung kait dengan kluster Aljunied Crescent/ Sims Drive/ Kallang Way/ Paya Lebar Way; serta satu daripadanya terkait dengan kluster Bishan Street 12 dan satu lagi dengan kluster Elite Terrace.

Terdapat dua lagi kes yang tidak dapat dikesan kaitannya dengan mana-mana kluster sedia ada.
NEA berkata bahawa pihaknya akan melaksanakan operasi kawalan vektor dan usaha memantau ke arah potensi kluster baharu di Ubi Crescent.

Agensi tersebut akan meneruskan operasi kawalan vektor dan usaha memantau di kawasan kluster Aljunied Crescent / Sims Drive / Paya Lebar Way / Kallang Way / Circuit Road / Geylang East Central / Geylang East Avenue 1; Bedok North Avenue 2 / Bedok North Avenue 3 / Bedok North Street 3; Joo Seng Road; Bishan Street 12 dan Elite Terrace di Siglap.

NEA berkata, setakat 7 September, sebanyak 166 tempat pembiakan nyamuk telah dijumpai dan dihapuskan di kawasan kluster, iaitu 108 adalah di kawasan perumahan dan 58 di kawasan luar.

Selain itu, menurut NEA, segala maklumat terbaharu dan butiran mengenai kluster semasa boleh didapati di laman web NEA.

Pada hari Khamis, pihak berkuasa tempatan menyatakan analisa daripada dua kes jangkitan tempatan menunjukkan bahawa Zika tidak berasal dari Amerika Selatan tetapi berkemungkinan dari kitaran wabak berulang di Asia Tenggara sejak 1960.