PERKAHWINAN merupakan saat bahagia yang dinanti-nantikan oleh setiap orang.

Anugerah seorang pasangan hidup pastinya memberi makna terindah dan semangat untuk meneruskan perjuangan kehidupan.

Namun, masih indahkah sesebuah perkahwinan jika anda masih belum bersedia?

Malah lebih teruk, masih indahkan ia jika anda masih bergelar kanak-kanak?

Sebuah kisah seorang remaja di Rajasthan telah dipetik dari portal berita BBC bagi mendalami isu ini.

Tarikh 4 November lalu merupakan detik bersejarah buat Monika yang hanya berusia 13 tahun ketika ibu bapanya merancang untuk mengahwinkannya dengan jejaka yang langsung tidak dikenalinya.

Namun, tindakan Monika telah membuka mata seluruh dunia.

Tradisi kawin paksa merupakan perkara normal bagi masyarakat di India.

Namun, undang-undang negara itu jelas menyatakan bahawa had umur minimum untuk berkahwin adalah 18 bagi perempuan dan 21 bagi lelaki.

Monika nyaris menjadi mangsa keadaan apabila ibu bapanya ingin mengahwinkan kakaknya Rajini yang telah cukup umurnya untuk berkahwin.

Atas kekangan ekonomi yang melanda keluarga mereka, bapa mereka berpandangan bahawa lebih baik mengahwinkan kedua-dua anaknya dan ini akan menjimatkan kos.

Apa yang ingin dilakukan oleh ibu bapa Monika merupakan helah normal yang sering dipraktikkan oleh masyarakat di Rajasthan.

Mengahwinkan dua orang anak perempuan sekali gus tapi hanya meletakkan nama anak perempuan yang telah cukup umur pada kad undangan.

Helah ini adalah bagi mengelakkan perkahwinan bawah umur dikesan oleh pihak berkuasa. Sebuah perkahwinan yang tidak sah diselindungi oleh perkahwinan yang sah.

Monika merupakan seorang anak yang patuh akan ibu ayahnya.

Namun, pendiriannya untuk tidak berkahwin sehingga sekurang-kurangnya berumur 18 tahun membuatkan dia nekad untuk mensabotaj perkahwinannya sendiri.

Di pagi hari perkahwinannya, setelah Monika siap dihias cantik, dia memutuskan untuk melaporkan perkahwinannya sendiri kepada pihak berkuasa dengan mendail talian perlindungan kanak-kanak nasional di negara itu.

Beberapa ketika kemudian, pihak berkuasa tiba di majlis perkahwinannya.

Pada awalnya, ketibaan polis tidak dihiraukan oleh ibu bapa Monika dan mereka tetap cuba mengahwinkan Monika di lokasi lain.

Namun, atas nasihat pihak berkuasa kepada ibu bapa, perkahwinan Monika berjaya dihalang.

Bapa Monika, Ganesh boleh dikenakan tindakan undang-undang jika dia berkeras ingin mengahwinkan anaknya.

Walaupun terlibat dengan perancangan majlis perkahwinan Monika, ibunya, Sita sejujurnya bangga dengan keberanian Monika menegakkan haknya untuk tidak menjadi mangsa tradisi perkahwinan bawah umur yang tidak sah di sisi undang-undang.

Monika mahu mendapatkan pendidikan yang sempurna dan bercita-cita menjadi seorang guru walaupun pendidikan untuk golongan wanita amatlah dipandang enteng oleh masyarakat di sana.

Perkahwinan bawah umur merupakan satu pencabulan hak asasi manusia -@UNICEF

Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), perkahwinan bawah umur satu jenayah pencabulan hak asasi manusia.

Usaha-usaha mengurangkan jumlah perkahwinan bawah umur telah giat dijalankan oleh UNICEF dengan kerjasama Dana Populasi PBB (UNFPA) terutama di negara-negara yang kurang membangun seperti Bangladesh, Ethiopia dan Burkina Faso.