Memetik laporan AFP, imej asal antaranya menunjukkan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dan Menteri Pertahanannya, Jen Nakatani dalam penampilan yang tidak kemas, termasuk seluar longgar.
Bagaimanapun, menerusi gambar rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat Ishiba, kecacatan yang ketara, seperti tampalan baju putih di bawah sut mereka, telah 'dihilangkan'.
Jurucakap kerajaan, Yoshimasa Hayashi mengakui terdapat suntingan kecil dilakukan sambil cuba mengalihkan kritikan terhadap manipulasi gambar itu.
“Foto berkumpulan semasa acara rasmi pejabat perdana menteri, seperti rombakan Kabinet, akan disimpan selama-lamanya sebagai kenangan...
"Jadi suntingan kecil biasanya dilakukan pada gambar ini,” katanya seperti dilapor portal berita itu.
Begitupun, percubaan untuk menutup 'kecacatan' pada gambar berkenaan seolah-olah tidak berhasil apabila warganet masih mengkritik dengan melabelkan sebagai ‘Kabinet tidak kemas’.
“Ini lebih teruk daripada gambar kumpulan kelab warga emas semasa lawatan ke kolam air panas. Ia sangat memalukan,” tulis seorang pengguna di platform X.