AUCKLAND: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern didapati negatif jangkitan COVID-19, lapor ABC News.

Beliau menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kes positif dalam satu penerbangan.

BACA: COVID-19: Dikesan kontak rapat, PM New Zealand jalani kuarantin kendiri 

Seorang pegawai kanan kerajaan dan kakitangan di pejabat perdana menteri yang berada dalam penerbangan bersamanya juga didapati negatif jangkitan tersebut.

Ardern telah menjalani kuarantin kendiri dan mengambil ujian PCR selepas dianggap kontak rapat kes positif COVID-19.

Beliau dikesan terdedah kepada jangkitan koronavirus itu dalam penerbangan dari Kerikeri ke Auckland pada 22 Januari.

Ardern telah menerima vaksin lengkap dan menerima suntikan penggalak pada 17 Januari.

Jurucakap Ardern berkata selaras dengan panduan Kementerian Kesihatan, beliau akan terus menjalani kuarantin hingga Selasa, dan akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet keesokan harinya secara maya.