BEIRUT: Pasukan pejuang Hezbollah melancarkan ratusan roket dan dron di Israel pada awal pagi Ahad (25 Ogos), ketika tentera Israel berkata ia menyerang Lubnan dengan kira-kira 100 jet untuk menggagalkan serangan yang lebih besar, dalam salah satu pertempuran terbesar dalam lebih 10 bulan peperangan sempadan.

Menurut Hezbollah dan sekutunya, gerakan Amal, tiga pejuang terbunuh.

Hezbollah turut mendakwa, mereka berjaya menembak 320 roket dan dron ke arah Israel sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan seorang komander kanan.

Susulan serangan itu, tentera Israel berkata, seorang askar tentera lautnya terbunuh.

Pertukaran tembakan itu merupakan peningkatan besar selepas 10 bulan permusuhan yang telah mencetuskan kebimbangan dan potensi perang besar-besaran.

Hampir setiap hari berlaku pertukaran tembakan merentasi sempadan Israel-Lubnan sehari selepas bermulanya perang antara Israel dan Hamas di Gaza pada 7 Oktober 2023.

Hezbollah turut memberitahu, ia bertindak menyokong kumpulan Palestin, yang juga disokong oleh Iran.

Kedua-dua Hamas dan Hezbollah menjadi sasaran dan kebimbangan oleh Israel bersama-sama sekutunya, United Kingdom dan negara lain.

Sejak Oktober tahun lalu, lebih 560 orang telah dilaporkan terbunuh oleh Kementerian Kesihatan Lubnan, sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada pejuang Hezbollah, manakala 26 orang awam dan 23 tentera telah terbunuh di Israel, menurut pihak berkuasa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan, hampir 200,000 orang kehilangan tempat tinggal di kedua-dua sempadan.

Serangan Israel ke atas Hezbpllah pada sekitar 4.30 pagi Ahad merupakan yang terbesar sejak perang besar-besaran antara mereka pada 2006.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa, sekitar 100 jet pejuang "menyerang dan memusnahkan ribuan laras pelancar roket Hezbollah" di lebih 40 kawasan di selatan Lubnan.

Jurucakap IDF, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, rejim itu melancarkan serangan tersebut selepas mengenal pasti "persediaan menyeluruh" untuk serangan udara berskala besar oleh Hezbollah.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan, pesawat Israel telah menyerang Istana Beaufort, kawasan Bir Kalb dan pinggir bandar Ain Qana, Kfar Fila, Louaizeh, Bsalia, Kfar Melki, Sajd, Kfar Fila serta Sarba.

Seorang penduduk bandar Zibqeen berkata ia "berasa seperti kiamat."

Kementerian Kesihatan Awam Lubnan berkata, seorang terbunuh dalam serangan dron ke atas sebuah kereta di Khiam.

Sementara gerakan Amal pula memaklumkan, seorang pejuangnya terbunuh.

Kementerian itu juga berkata, serangan Israel ke atas kampung Tiri membunuh dua orang.

Hezbollah mengesahkan kematian dua pejuang dari kampung berdekatan iaitu Haris, tanpa memberikan sebarang butiran.

"Apa yang berlaku hari ini bukanlah penamat kepada cerita," kata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada mesyuarat Kabinet.

“Awal pagi ini, Hezbollah cuba menyerang negara Israel dengan roket dan dron,” tambahnya.

"Kami mengarahkan IDF untuk melakukan serangan awal yang sengit untuk menghapuskan ancaman itu." - Agensi