NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa rejim Zionis Israel dan Hamas, bersetuju melaksanakan jeda perang selama tiga hari bagi tiga zon berbeza di seluruh Semenanjung Gaza.

Ini bagi membolehkan 640,000 kanak-kanak di seluruh Gaza dapat diberikan vaksin polio.

Kempen vaksinasi itu dijadual bermula pada Ahad, dengan jeda pertempuran itu dijadualkan antara pukul 6 pagi hingga 3 petang.

Menurut pegawai kanan WHO ke wilayah Palestin, Rik Peeperkorn, kempen ini akan dimulakan di Gaza Tengah selama tiga hari berturut-turut, sebelum bergerak ke Gaza Selatan dan seterusnya Gaza Utara.

Peeperkorn menambah bahawa terdapat persetujuan untuk melanjutkan jeda ini kepada hari keempat jika diperlukan.

WHO mengesahkan pada 23 Ogos bahawa seorang bayi telah lumpuh akibat virus polio jenis 2, kes pertama di Gaza dalam 25 tahun.

Hamas menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk melindungi lebih 650,000 kanak-kanak di Gaza.

Manakala tentera Israel melalui unit kemanusiaannya, berkata kempen ini akan dilakukan dengan kerjasama tentera Israel bagi membolehkan penduduk mendapatkan vaksinasi di pusat perubatan.

Timbalan duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Robert Wood, menekankan kepentingan Israel memudahkan akses dan memastikan tempoh tenang serta mengelakkan operasi ketenteraan semasa kempen vaksinasi ini.

AS turut menggesa Israel untuk mengelakkan arahan pemindahan tambahan dalam tempoh tersebut.