Menerusi satu hantaran di X, pemegang akaun Sarah yang merupakan pengulas bebas geopolitik Lubnan memuat naik satu hantaran video mengenai serangan terbaharu itu.
"Israel menggunakan bom fosforus putih yang diharamkan di peringkat antarabangsa untuk membakar kampung dan tanah ladang di selatan Lubnan. Sekali lagi.
"Komuniti antarabangsa kekal membisu, sudah tentu," tulisnya dalam hantaran itu.
Bom fosforus putih boleh mengakibatkan sesak nafas, kecederaan serta-merta pada paru-paru, jantung, hati dan buah pinggang, selain berupaya melecurkan kulit serta otot manusia.
Isu senjata berasaskan fosforus putih sama ada membabitkan peluru, roket atau mortar, sudah mendapat perhatian sejak sekian lama termasuk Konvensyen Geneva 1980, di mana penggunaannya dikenakan kawalan ketat bawah undang-undang antarabangsa.
Terdahulu, tentera Israel melakukan serangan ke atas konvoi trak yang memasuki Lubnan dari Syria, pada Jumaat.
Perkara itu didedahkan oleh sumber yang rapat dengan kumpulan Hezbollah.
"Tiga serangan Israel menyasarkan konvoi trak tangki di sempadan Syria-Lubnan di kawasan Hawsh el-Sayyed Ali, mencederakan seorang pemandu Syria," kata sumber itu.
Menurut sumber ity lagu, ia adalah siri serangan terbaharu Israel di kawasan sempadan itu.