BAGHDAD: Kementerian Luar Iraq pada Khamis memanggil duta Sweden berhubung pembakaran kitab suci umat Islam, Al-Quran, ketika umat Islam di seluruh dunia meraikan sambutan Aidiladha, lapor Xinhua.

Kementerian itu menyuarakan bantahan kerasnya terhadap kerajaan Sweden yang membenarkan seorang pelampau membakar naskhah al-Quran di Stockholm, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian itu juga menggesa kerajaan Sweden supaya mengambil langkah untuk menghentikan penghinaan berulang terhadap al-Quran, menurut kenyataan itu.

Di Beirut, Kementerian Luar Lubnan juga membuat bantahan terhadap perbuatan itu.

"Perbuatan ini, yang diulangi buat kali kedua, merupakan satu serangan terhadap kesucian umat Islam dan provokasi terhadap perasaan mereka.

"Tindakan sedemikian, yang bertentangan dengan nilai toleransi dan kewujudan bersama antara agama dan tamadun, menyemarakkan kebencian dan mencetuskan keganasan, yang tidak boleh dibenarkan atas alasan kebebasan bersuara," katanya.

Di Khartoum, Kementerian Luar Negeri Sudan juga mengeluarkan kenyataan bantahan yang sama.

"Kementerian Luar Negeri Sudan menyuarakan kecaman keras terhadap perbuatan mengoyak dan membakar al-Quran oleh seorang pelampau di ibu negara Sweden, Stockholm itu," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian menyifatkan insiden itu sebagai "tindakan yang memalukan dan provokasi kepada umat Islam di seluruh dunia semasa sambutan Aidiladha".

"Perbuatan ini bercanggah dengan nilai menghormati orang lain dan kesucian mereka, dan menyemarakkan kebencian dalam kalangan penganut agama," tambah kenyataan itu.

Pada Rabu, seorang warga Sweden yang berasal dari Iraq dilaporkan telah mengoyak senaskah al-Quran dan membakarnya di hadapan masjid Stockholm semasa demonstrasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.

Insiden itu berlaku ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut hari raya Aidiladha. Sebelum itu pada Januari, seorang pelampau sayap kanan membakar naskhah al-Quran berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm yang mencetuskan kemarahan dunia Islam.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Sweden membenarkan perbuatan provokatif membakar Kitab Suci Al-Quran itu

Kementerian Luar Malaysia berkata dalam kenyataan tindakan mencemarkan Kitab Suci Al-Quran, tatkala umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, merupakan penghinaan kepada umat Islam di seluruh dunia dan melanggar prinsip sejagat menghormati dan memahami semua agama dan Kitab Suci mereka.

-- BERNAMA