TEHRAN: Tehran menyenaraihitamkan hampir 60 pegawai Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa terlibat dalam kes pembunuhan komander tertinggi Iran Qassem Soleimani, lapor Xinhua, memetik Agensi Berita Mehr.

Dalam wawancara televisyen menjelang ulang tahun ketiga pembunuhan Soleimani, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian berkata Iran sedang menyiasat penglibatan pegawai berkenaan dalam pembunuhan itu.

Beliau mendakwa AS dan Barat menggugat usaha Iran untuk meneruskan kes itu secara sah, walaupun Tehran telah mengambil langkah yang perlu.

Amir-Abdollahian berkata semasa rundingan Vienna baru-baru ini mengenai perjanjian nuklear 2015, Amerika menuntut bekas pegawai mereka dikeluarkan daripada senarai hitam Iran.

Soleimani maut dalam serangan dron berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada 3 Jan 2020 dan Iran mengutuk keras pembunuhan itu yang menyifatkan ia sebagai "keganasan negara."

Pada 8 Januari, Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera AS Ain al-Asad di wilayah Anbar, Iraq.

-- BERNAMA