JAKARTA: Penularan varian baharu COVID-19, Omicron di Indonesia mengalami peningkatan ketara dengan 840 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan negara itu dalam tempoh sekitar sebulan sahaja.

Pengarah Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Menular Langsung (P2PML) kementerian itu, Siti Nadia Tarmizi berkata, daripada 840 kes yang dilaporkan itu, 609 merupakan penularan dari Pelaku Perjalanan Luar Negeri (PPLN).

Selebihnya iaitu 172 kes adalah penularan dalam negara dan baki 57 jangkitan lain masih diteliti sumber penularannya.

“Sejak kita mula kenal pasti dari 15 Disember 2021 hingga 17 Januari 2022, kita (Indonesia) sudah ada 840 kes positif Omicron,” kata Nadia seperti dilaporkan portal berita CNN Indonesia.

Menurut Nadia, negara kedatangan PPLN paling banyak merekodkan kes Omicron ialah Arab Saudi diikuti Turki, Amerika Syarikat, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).