Indonesia lepaskan 2 kapal korek termasuk dari Malaysia
Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah melepaskan dua kapal korek, termasuk satu milik Malaysia selepas siasatan mendapati tiada bukti aktiviti haram.
Bernama
Sat Nov 09 2024
Seorang anggota penguatkuasa dari Indonesia melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kapal korek kerana disyaki melakukan pengorekan dan pembuangan secara haram di perairan Batam, Kepulauan Riau. - Gambar Bernama
JAKARTA: Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah melepaskan dua kapal korek, termasuk satu milik Malaysia selepas siasatan mendapati tiada bukti aktiviti haram.
Pada 9 Oktober, kementerian itu melalui Direktorat Jeneral Pengawasan Sumber Kelautan dan Perikanan, memeriksa dua kapal kerana disyaki melakukan pengorekan dan pembuangan secara haram di perairan Batam, Kepulauan Riau.
"Siasatan itu melibatkan pakar dari pelbagai bidang, termasuk hidro-oseanografi, forensik digital, perkapalan antarabangsa, dan geologi," menurut kementerian berkenaan dalam satu kenyataan, lapor CNN Indonesia.
Wakil kapal itu mengesahkan pada 14 Okt bahawa mereka memiliki semua permit dan kelulusan yang diperlukan untuk operasi antara Malaysia dan Singapura.
Mereka menafikan dakwaan pengambilan pasir haram dari perairan Indonesia sebagai tidak berasas dan menegaskan bahawa mereka mempunyai bukti yang kukuh untuk menyangkal dakwaan itu. - BERNAMA