GEORGIA: Ibu kepada remaja yang dituduh menembak mati dua pelajar dan dua guru di sebuah sekolah tinggi di Georgia, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, dilaporkan sempat menghubungi sekolah pada pagi kejadian dan memberi amaran kepada kaunselor mengenai keadaan "kecemasan yang serius".

Menurut The Washington Post, Marcee Gray, ibu kepada suspek Colt Gray yang berusia 14 tahun, meminta kaunselor sekolah untuk segera mencari anaknya.

Rekod panggilan telefon menunjukkan, Marcee membuat panggilan selama 10 minit ke Sekolah Apalachee di Winder, Georgia, pada jam 9.50 pagi, kira-kira 30 minit sebelum serangan bermula.

Gray enggan mendedahkan butiran yang mendorong panggilannya itu tetapi memberitahu media bahawa dia telah berkongsi maklumat tersebut dengan pihak berkuasa.

Dia turut menyatakan rasa kesal atas "kesakitan dan penderitaan" yang dialami oleh mangsa dan keluarga mereka.

Rentetan insiden tembakan ini, Colt Gray didakwa sebagai orang dewasa dengan empat tuduhan membunuh.

Sementara bapanya turut berdepan tuduhan membunuh tanpa niat, serta kekejaman terhadap kanak-kanak.

Undang-undang baharu menyaksikan ibu dan bapa dipertanggungjawabkan kerana membenarkan akses kepada senjata api kepada kanak-kanak yang melakukan serangan.

Dalam kes ini, pendakwa raya menyifatkan Colin Gray menyediakan senjata yang digunakan dalam kejadian tembakan tersebut.