ISTANBUL: Situasi keselamatan nuklear di loji kuasa nuklear Zaporizhzhia di selatan Ukraine semakin merosot selepas serangan dron di sekitar perimeter kemudahan berkenaan, lapor Agensi Anadolu (AA) pada Sabtu memetik Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"Kita sekali lagi melihat peningkatan bahaya keselamatan dan keselamatan nuklear yang dihadapi oleh Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia.

"Saya tetap amat bimbang dan mengulangi seruan saya untuk semua pihak menunjukkan pengawalan maksimum dan pematuhan ketat terhadap lima prinsip konkrit yang ditetapkan untuk melindungi loji ini," kata ketua IAEA Rafael Mariano Grossi dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Misi Sokongan dan Bantuan IAEA ke Zaporizhzhia telah diberi taklimat mengenai kejadian itu daripada pegawai di loji kuasa di kawasan yang kini dikuasai Rusia.

Misi IAEA segera memeriksa kawasan itu dan mengesahkan kerosakan berkenaan kemungkinan besar disebabkan oleh dron yang dilengkapi bahan letupan.

Walaupun tiada kemalangan jiwa dan tiada kesan terhadap peralatan loji, letupan itu telah merosakkan jalan antara dua pintu utama kemudahan berkenaan.

Misi itu juga melaporkan peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran loji berkenaan dalam tempoh seminggu lepas.

-- BERNAMA