Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, Antonin Scalia meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun, lapor CNN.

Menurut sumber kerajaan, Scalia meninggal dunia sewaktu tidur ketika dalam rangka kerja lawatannya ke sebuah ladang di Texas.

Kematian Scalia menimbulkan perdebatan sama ada kerusi beliau perlu diisi serta-merta dengan sumber dalaman menyatakan Presiden Barack Obama merancang untuk mencadangkan pengganti Scalia.

Pemimpin majoriti Dewan Senat Mitch McConnell bagaimanapun berkata pencalonan tersebut perlu dilakukan hanya selepas presiden baharu dipilih tahun hadapan.


Keputusan penting

Sejak dilantik sebagai hakim oleh Presiden Ronald Reagan pada tahun 1986, Scalia telah membuat beberapa keputusan yang penting dalam mencorak undang-undang dan iklim politik Amerika Syarikat:

Kes District of Columbia v. Heller

Scalia menegakkan Pindaan Kedua yang melindungi hak untuk menyimpan senjata api di rumah.

Kes Bush v. Gore

Scalia menghentikan pengiraan semula undi presiden di Florida sekali gus menyumbang kepada kemenangan George W. Bush sebagai presiden Amerika Syarikat ke-43.


Pemergian dikenang

Ketua Hakim John Roberts menyatakan kesedihannya yang dikongsi bersama para hakim yang lain.

“Beliau individu dan pakar undang-undang yang hebat, dikagumi dan dihargai oleh rakan sejawat,” ujar Roberts yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga Scalia.

Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih Eric Schultz menyatakan Obama sudah dimaklumkan tentang berita kematian Scalia.

“Presiden dan Wanita Pertama mengucapkan takziah kepada keluarga Scalia. Kenyataan penuh Presiden akan menyusul hari ini,” tambah Schultz.

Kematian Scalia turut mendapat perhatian calon-calon presiden yang berkongsi ucapan takziah di media sosial: