Hakim John Coughenour, seorang pelantikan ketika pentadbiran Ronald Reagan yang bertugas di Seattle menyifatkan, perintah eksekutif tersebut sebagai "jelas tidak berperlembagaan."
Hakim itu membenarkan permohonan oleh Peguam Negara Washington, Nick Brown, bersama tiga negeri lain yang dipimpin Demokrat untuk perintah kecemasan, yang menghentikan pelaksanaan dasar itu selama 14 hari sementara perbicaraan undang-undang diteruskan.
“Saya telah menjadi hakim selama lebih empat dekad. Saya tidak ingat pernah ada kes di mana persoalan yang diajukan sebegitu jelas,” kata Coughenour.
“Di mana peguam ketika keputusan untuk menandatangani perintah eksekutif ini dibuat?” tanya hakim itu.
Beliau menegaskan, sukar untuk memahami bagaimana seorang ahli undang-undang boleh mendakwa bahawa perintah ini mengikut Perlembagaan.
Negeri-negeri Demokrat berhujah bahawa perintah eksekutif Trump secara terang-terangan melanggar Pindaan Ke-14 Perlembagaan, yang menjamin kewarganegaraan kepada semua kanak-kanak yang dilahirkan di tanah AS “dan berada di bawah bidang kuasa negara tersebut.”
Peguam negeri Washington, Lane Polozola berkata kepada hakim, “kelahiran tidak boleh dihentikan sementara mahkamah mempertimbangkan kes ini.”
“Bayi dilahirkan hari ini, di negeri plaintif dan seluruh negara dengan kewarganegaraan mereka yang kini terancam,” kata Polozola.
Kanak-kanak yang dinafikan kewarganegaraan berdasarkan perintah Trump akan menghadapi “kesan negatif yang besar dalam jangka panjang,” tambahnya.
Polozola juga berhujah bahawa pentadbiran Trump tidak hanya mengabaikan kesan-kesan tersebut dalam dokumen yang dikemukakan setakat ini, tetapi kemudaratan itu “tampak menjadi tujuan” perintah eksekutif tersebut.
Selain kesan kepada penduduk, Washington dan negeri lain mendakwa bahawa penamatan kewarganegaraan kelahiran automatik akan membebankan program negeri secara kewangan dan logistik, kerana kanak-kanak tersebut akan kehilangan manfaat persekutuan yang mereka layak sebagai warganegara.
Pentadbiran Trump berhujah bahawa klausa “berada di bawah bidang kuasa” membenarkan Presiden mengecualikan anak-anak pendatang tanpa izin dan juga anak-anak yang ibu bapanya hadir secara sah tetapi tidak mempunyai status undang-undang tetap.
Peguam Jabatan Kehakiman, Brett Shumate meminta hakim supaya menangguhkan perintah sekatan kecemasan sehingga lebih banyak perbicaraan dilakukan.
“Saya memahami kebimbangan anda,” kata Shumate, tetapi beliau menggesa mahkamah untuk tidak membuat “keputusan tergesa-gesa.”
Shumate turut menyatakan bahawa kes-kes lain yang mencabar perintah eksekutif ini bergerak dalam tempoh yang lebih lambat dan berhujah bahawa “kemudaratan segera” mengancam negeri-negeri. - Agensi