Dapatan itu bertentangan dengan kajian terdahulu yang menunjukkan bahawa hakim yang belum menjamah sebarang makanan cenderung untuk menjatuhkan hukuman lebih keras.
Kajian 'kesan hakim yang lapar' pada 2011 mendapati hakim di Israel yang belum menikmati hidangan tengah hari lebih cenderung untuk menolak permohonan parol banduan berbanding selepas mereka kenyang.
Sultan Mehmood dari Sekolah Ekonomi Baru Rusia yang juga penulis utama kajian baharu itu memberitahu AFP bahawa beliau menjalankan analisis tersebut bagi mengetahui sama ada kesan yang sama berlaku semasa bulan Ramadan, yang menyaksikan umat Islam tidak menyentuh sebarang makanan dan minuman dari subuh hingga matahari terbenam.
Bagi mengetahui perbezaannya, Sultan bersama dua rakan penyelidik menyaring sejumlah besar data hukuman jenayah termasuk kira-kira setengah juta kes serta 10,000 hakim di India dan Pakistan sepanjang tempoh 50 tahun lalu.
Menurutnya, dua negara itu menjadi pilihan kerana ia antara tiga negara teratas dengan populasi Muslim terbesar di dunia.
"Ia amat mengejutkan kerana dapatan kami bertentangan dengan kajian 'kesan hakim yang lapar' yang diterbitkan pada 2011.
"Terdapat peningkatan ketara secara statistik bahawa hakim beragama Islam lebih cenderung menjatuhkan hukuman lebih ringan, menggugurkan kes atau memberi pembebasan awal kepada pesalah semasa Ramadan.
"Semakin lama hakim tidak makan dan minum, semakin itu jugalah mereka berlembut, tidak seperti hakim yang bukan beragama Islam," katanya.
Kajian diterbitkan dalam jurnal Nature Human itu turut mencadangkan bahawa perubahan dalam membuat keputusan dalam kalangan hakim Muslim semasa Ramadan ada kaitan dengan konsep pengampunan dan kemaafan dalam perspektif Islam. - Sinar Harian/ Agensi