WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyeru Rusia menyambung semula penyertaannya dalam Inisiatif Bijirin Laut Hitam, lapor Sputnik memetik Setiausaha Negara Antony Blinken.

Pada Sabtu, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan Moscow menggantung penyertaan membabitkan perjanjian eksport bijirin susulan serangan dron Ukraine yang menyasarkan kapal Armada Laut Hitam Rusia di Sevastopol.

"AS kesal dengan penggantungan penyertaan Rusia dalam Inisiatif Bijirin Laut Hitam yang diketengahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kami menggesa semua pihak untuk memastikan Inisiatif diteruskan bagi menyelamatkan nyawa," kata Blinken dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Perjanjian itu membolehkan lebih sembilan juta tan metrik makanan dieksport dan menurunkan harga bijirin di seluruh dunia, katanya.

Setiausaha negara AS itu menuduh Rusia menjadikan "makanan sebagai senjata" dan mendakwa bahawa inisiatif bijirin Istanbul itu "berjaya dan mesti diteruskan."

"Kami menggesa Rusia menyambung semula penyertaannya dalam Inisiatif berkenaan, mematuhi peraturan sepenuhnya dan berusaha memastikan masyarakat di seluruh dunia terus menerima faedah hasil perjanjian itu," kata Blinken.

Jurucakap PBB untuk Inisiatif Bijirin Laut Hitam, Ismini Palla berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu Rusia telah memaklumkan kepada penyelaras PBB di Pusat Koordinasi Bersama di Istanbul (JCC) tentang kebimbangan mengenai keselamatan kapal awam yang melakukan perjalanan di bawah inisiatif itu.

JCC tidak dapat mencapai persetujuan mengenai pergerakan kapal keluar dan masuk pada Ahad, 30 Oktober.

Timbalan utusan Rusia ke PBB Dmitry Polyanskiy berkata pada Sabtu Rusia meminta mesyuarat Majlis Keselamatan PBB yang bersidang pada Isnin membincangkan serangan dron Ukraine terhadap kapal dan infrastruktur Armada Laut Hitam Rusia di Sevastopol hingga mendorong Moscow menangguhkan penyertaannya dalam perjanjian itu.

-- BERNAMA