NEW YORK: Syarikat media sosial gergasi gagal bertindak ke atas 89 peratus siaran yang mengandungi elemen kebencian terhadap Islam dan kandungan Islamofobia yang dilaporkan menerusi platform mereka, lapor Agensi Anadolu.

"Laporan itu mendedahkan syarikat media sosial, termasuk Facebook, Instagram, TikTok, Twitter, dan YouTube, gagal bertindak ke atas 89 peratus siaran yang mengandungi kebencian anti-Islam dan kandungan Islamofobia yang dilaporkan," menurut Pusat Membendung Kebencian Digital (CCDH).

Dalam satu kenyataan bersama pada 2019, Meta, Twitter dan Google komited menyokong seruan Christchurch untuk menghapuskan kandungan dalam talian yang mempunyai unsur pengganas dan pelampau.

Gergasi media sosial menyatakan "komitmen mereka untuk memastikan semua langkah yang perlu dilakukan bagi memerangi kebencian dan ekstremisme yang membawa kepada kegiatan pengganas.

"Sekali lagi, kenyataan akhbar itu terbukti tidak lebih daripada janji kosong," menurut laporan itu.

Setakat ini, penyelidik CCDH telah membuat laporan terhadap 530 siaran yang mengandungi kandungan yang mengganggu, taksub dan tidak berperikemanusiaan serta menyasarkan umat Islam melalui karikatur perkauman, konspirasi dan dakwaan palsu.

Hantaran itu telah dilihat sekurang-kurangnya 25 juta kali.

Banyak kandungan kurang sesuai mudah dikenal pasti, namun masih tiada tindakan diambil.

CCDH mendakwa Instagram, TikTok dan Twitter membenarkan pengguna menggunakan hashtag seperti #deathtoislam, #islamiscancer dan #ragheadi, dan kandungan yang tersebar menggunakan tanda pagar itu menerima sekurang-kurangnya 1.3 juta reaksi.

Kandungan sedemikian terus membahayakan komuniti dengan memacu "perpecahan sosial, menormalkan tingkah laku kesat dan menggalakkan serangan serta penyalahgunaan di luar talian," menurut laporan itu.

-- BERNAMA