CUTI musim bunga di Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS) bertukar tragedi apabila sebuah rakaman video memaparkan sekumpulan wanita berpakaian ala ‘bikini’ yang sedang bergaduh tular di laman sosial, sejak semalam.

Memetik laporan Daily Mail, insiden pergaduhan itu berlaku di South Beach dan rakaman ‘percakaran’ melibatkan kumpulan wanita terbabit telah dimuat naik di laman perkongsian FlyHeight.com pada Ahad.

Dalam kejadian yang berlaku di tengah-tengah jalan raya itu, sekumpulan wanita muda terbabit dilihat saling bertumbuk dan menarik rambut satu sama lain.

Deretan kenderaan termasuk sebuah bas berulang kali membunyikan hon ke arah kumpulan terbabit sebagai isyarat untuk menghentikan pergaduhan itu, namun mereka tidak mengendahkannya.

Difahamkan, segelintir lelaki yang berada di lokasi kejadian hanya memerhati dan merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit tanpa cuba melakukan apa-apa untuk menghentikan pergaduhan.

Bagaimanapun, kedengaran juga suara lelaki yang meminta agar orang ramai ‘meleraikan’ pergaduhan tersebut.

Di penghujung video itu kelihatan kumpulan wanita terbabit dalam keadaan kusut dan pakaian mereka koyak-rabak.

Namun, tidak dapat dipastikan punca sebenar pergaduhan tersebut.

Sejak minggu lalu, dilaporkan banyak insiden pergaduhan telah berlaku ketika orang ramai sedang menikmati cuti musim bunga di Miami, dan salah satunya kejadian di mana seorang lelaki menumbuk muka seorang wanita di pantai.